Etika Kerja Tertinggi Adalah Keutamaan No. 1 - mindaconsult

Jurutera perunding perlu sentiasa kekal standard etika kerja tertinggi

KUCHING: Jurutera perunding di negara ini perlu sentiasa mengekalkan standard etika kerja tertinggi pada setiap masa bagi mengelak berulangnya kejadian runtuhan bangunan terutama di tapak pembinaan.

Presiden Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Prem Kumar berkata kejadian runtuhan bangunan Pasaraya Jaya di Petaling Jaya dan bumbung stadium di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu merupakan seruan kepada semua untuk lebih bertanggungjawab terutama apabila ia melibatkan keselamatan awam.

Susulan insiden ini dan beberapa kegagalan lain, panel pakar telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerja Raya untuk mengurangkan insiden-insiden seperti ini.

Satu daripada cadangan daripada panel ini ialah memperkenalkan pengurusan reka bentuk pembinaan (CDM) dalam industri pembinaan.

Dengan CDM ini, klien dan perunding tidak lagi boleh meletakkan kesalahan di atas bahu kontraktor atas keselamatan di tapak pembinaan tetapi tanggungjawab ini harus dipikul oleh ketiga-tiga pihak ini.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga mengambil maklum akan perkara ini dan baru-baru ini telah memperkenalkan Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Industri Pembinaan (2017) yang dibangunkan berdasarkan Peraturan (Pengurusan dan Reka Bentuk) Pembinaan United Kingdom (UK).

“Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) juga menjadikan ini sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) mereka,” katanya sambil menambah, KPI CIDB adalah untuk mengurangkan  kadar kematian 10.94 bagi setiap 100,000 pekerja kepada separuh menjelang 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dwitahunan Ke-12 ACEM Cawangan Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi ACEM Sarawak William Tan Khoon Lee berkata dua tahun lepas Akta Pendaftaran Kejuruteraan 1967 telah dipinda.

Katanya dengan pindaan ini pintu sektor perkhidmatan kejuruteraan terbuka kepada jurutera asing dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan profesional.

“Objektif utama Akta Jurutera adalah untuk melindungi orang awam dan mengawal selia para jurutera.

“Kegagalan kerja-kerja kejuruteraan memang ada berlaku, bangunan runtuh, bumbung stadium runtuh dan cerun bukit runtuh.

“Pindaan akta ini akan memastikan keyakinan orang ramai dikekalkan dalam standard perkhidmatan yang disediakan oleh jurutera profesional,” katanya.

Untuk memperbaiki tahap kecekapan jurutera tempatan, Peperiksaan Kecekapan Profesional (PCE) turut diperkenalkan dalam akta ini dan jurutera yang mahu menjadi jurutera profesional dengan persijilan amalan perlu lulus peperiksaan ini.

Satu daripada objektif peperiksaan ini adalah untuk menguji standard profesionalisme jurutera supaya mereka dapat bersaing ketika berhadapan cabaran daripada jurutera asing dalam negara.  

Untuk bacaan lanjut, sila klik di link bawah ini

Link

Credit to Utusan Borneo Online